Monday, November 14, 2011

Misi korban (akhir)

4.30 ptg : Kami sempat melawat Masjid Bei Da Si iaitu masjid yang berusia 270 tahun. Kini, masjid ini ditutup buat sementara waktu kerana dalam proses baik pulih. Masjid ini sangat cantik dengan ukiran halus seni bina cina. Imam Liu memberitahu di masjid inilah merupakan tempat beliau belajar pada suatu ketika dahulu. Kami berjalan di sekitar masjid. Tiada apa yang menarik selain batu batan yang berselerakan serta debu-debu yang berterbangan.


menara masjid



5.30 ptg: Check out dari hotel,dan terus ke masjid untuk menunaikan solat . Usai solat, kami dijemput oleh chef dapur untuk menikmati kambing sembelihan tadi. Menunya ialah sup kambing yang amat sedap sekali. Bersama Jemaah masjid kami meratah daging serta tulang kambing itu sambil berbual-bual. Kami juga dihidangkan dengan teh panas.

6.00ptg : Tibalah saat perpisahan dengan para Jemaah. Terasa hiba di hati untuk pergi meninggalkan bumi ini. Banyak kata-kata semangat yang mereka berikan agar kami terus membantu penduduk Muslim China dan mereka sentiasa menjemput kedatangan kami pada lain hari dengan tangan terbuka. Penulis dapat lihat riak wajah seorang demi seorang pada waktu itu . Alhamdulilah.

6.30ptg : Berkumpul di rumah Imam Liu yang terletak tidak jauh dari masjid.Kami dijemput untuk makan malam disini oleh isteri Imam Liu. Rumah Imam Liu merupakan apartmen dan ia berada di tingkat 4. Bayangkan setiap hari beliau meredah tangga itu dengan usia 80an, ini menunjukkan beliau masih gagah.
Salam diberikan, pintu bibukakan, penulis dapat melihat kelibat Imam Liu menjemput kami masuk dan kami duduk di sofa. Isterinya menghidangkan kami dengan buah-buahan dan manisan. Kami berbual sementara makanan dihidangkan.Dapat penulis melihat di satu sudut, meja dan alat tulis Imam Liu untuk menulis khat. Kami meminta Imam Liu memberikan ucapan dan kata dua dan beliau menegaskan mengenai kesatuan umat Islam diseluruh dunia, beliau memetik isu-isu semasa seperti penggulingan Gaddafi, kuasa Amerika dan umat Islam di China.Panjang lebar beliau memberi penerangan.Disebabkan masa mencemburui, isteri Imam Liu terus mencelah dengan menjemput kami untuk menikmat makan malam. Makan malam itu kami anggap mewah kerana mengikut tradisi cina, ikan wajib untuk menyambut kedatangan tetamu. Masih ingat lagi, isterinya sibuk menambah lauk ke dalam lauk kami, sehingga kami kekenyangan tak terhingga.











8.15mlm :Asyik bersembang , tidak sedar masa sudah pun singkat. Tiba masanya kami berangkat ke stesen keretapi.Sebelum itu sempat kami bergambar bersama-sama sebelum pulang. Keluarga mereka dengan ramahnya menghantar kami pulang.

8.40mlm : Tiba di stesen keretapi Chifeng. Kami diiringi oleh Imam Norudden dan Bai sehingga kedalam keretapi. Imam Liu dan isteri turut serta. Kami bersalaman dan berpelukan sambil mengucapkan selamat tinggal. Sesungguhnya terasa ukhwah yang terjalin walaupun pada asalnya kami tidak pun mengenali antara satu sama lain, tetapi inilah yang dikatakan ukhwah islamiyah. Kami berterima kasih kepada mereka kerana telah bersusah payah melayan kami sepanjang kami berada di Chifeng. Alhamdulillah,itu saja yang kami ucapkan kerana tamat misi korban kami pada tahun ini. InsyAllah akan diteruskan pada masa yang akan datang.



9.15 mlm : Berlepas pulang ke Beijing,malam itu tidur kami kekenyangan di dalam gerabak.

Penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang menyokong misi kami ini dan atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak.
Krew: Harith, Luqman , Mazlan, Fizul , Radi , Fayyadh

- Tamat -

Sunday, November 13, 2011

Misi Korban (bhg.3)

Isnin,7 November 2011.

7.30pagi : Dijemput oleh Bai untuk bersarapan pagi.

8.30pagi : Suasana di karangan masjid sudah pun meriah. Penulis dapat melihat ramai orang sedang berkumpul. Kali ini, baru dapat penulis melihat kelibat anak-anak muda turut serta. Suasana pada waktu itu sangat meriah. Mereka berkumpul,saling bertanya khabar, senyum dan gelak ketawa . Setiap saat manis ini masih lagi segar di ingatan. Kedatangan kami mengambil perhatian mereka. Perkara ini tidak asing lagi buat kami dan mereka seperti ragu-ragu hendak menegur kerana mereka tidak pasti kami boleh berbahasa mandarin dan seperti biasa kami akan menyapa mereka dahulu. Dari situ bermulalah perbualan kami. Baru saja berbual, barisan imam telah pun berkumpul di depan pintu masuk. Maka kami semua berkumpul dan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan beratur masuk ke dewan solat. Barisan imam dan pegawai masjid mengambil tempat di bahagian depan sambil menghadap ke arah para jemaah. Acara dimulakan dengan Imam Besar Masjid Nan Da Si , Imam Ma Hai atau nama arabnya Ibrahim menyampaikan ceramah aidiladha. Isi kandungannya mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S dan penghayatan terhadap pengorbanan tersebut kepada umat Islam. Isinya sangat padat, penulis cuba memahami dengan teliti konteks ceramah tersebut. Setelah itu, kami mula solat sunat aidiladha. Cara solatnya sangat berbeza dengan di Malaysia. Rakaat pertama, mula dengan takbir tetapi tidak disusuli dengan “subhanallah,alhamdulillah,allahuakbar” dan ianya sangat pantas manakala pada rakaat kedua tiada takbir dipermulaan malah ia dilakukan 3 kali sebelum ruku`. Ini menimbulkan tanda tanya di pemikiran penulis. Setelah solat diikuti pula khutbah oleh imam dan selepas itu solat 2 rakaat dan kami mula beratur bersalaman dengan semua jemaah. Alhamdulillah, sangat seronok perasaan pada waktu itu.

colok dibakar bagi menambahkan lagi wangian

para jemaah berkumpul sebelum memasuki dewan solat para imam membarisi barisan hadapan

para jemaah



penulis bergambar bersama jemaah




9.30pagi : Melangkah kaki keluar dari dewan solat, penulis melihat ramai orang berada di perkarangan masjid bersama kambing-kambing. Darah yang merah telah membasahi bumi, mereka melakukan kerja sembelih dengan sangat pantas, sekali libas terus kambing menyembah bumi. Penulis dapat melihat semangat kerjasama antara setiap orang. Selepas proses penyembelihan, kambing itu dibawa ke satu bahagian untuk dilapah. Masing-masing ada tugas tersendiri. Ada yang menyiat kulit, ada yang memotong daging, ada yang membersih bahagian organ dalaman seperti perut dan lain-lain. Kami hanya memerhatikan mereka membuat kerja dan mengambil gambar.Semangat kerjasama amat terserlah ketika ini dan yang pasti mereka sangat tekun menyiapkan tugasan masing-masing. Penulis berasa sangat kagum.







1.00tghari : Imam Liu dan Imam Noruddin menemani kami makan tengahari. Imam Liu memberitahu kami pada sebelah petang, akan menyempurnakan kambing-kambing korban pelajar Malaysia.

2.00 ptg : Penulis bersama Radhi dan Mazlan menangkap kambing di belakang dapur untuk dibawa keluar. Imam Ma Hai sedang mengasah pisau bersama beberapa pegawai masjid yang lain. Sementara itu penulis sempat membelai dan membisikkan “Allahuakbar” pada kambing penulis yang akan disembelih. Imam Ma Hai datang kearah aku dan mengajak untuk membantu. Kami membaca doa diketuai Imam Ma Hai dan seterusnya aku memegang erat kepala kambing dan tatkala pisau sudah di leher, penulis terus memasang niat korban dan sepantas kilat darah menyembur mencucuri lantai.Penulis masih pegang erat kepala kambing untuk memudahkan proses darah keluar dari badan. Kambing ini meronta-ronta tidak seperti kambing-kambing lain. Memang kambing ini kuat, ingat lagi bila waktu menangkapnya, kambing ini kuat melawan dan seperti itu juga ia kuat melawan semasa penyembelihan. Imam Liu menawarkan daging-daging untuk dibawa pulang, memang tepat pada masanya, memang kami awal-awal lagi sudah menyediakan bekas untuk sahabat-sahabat menjamah daging korban.






4.00ptg : Kami pulang ke hotel untuk mengemas bagasi kami. Sudah terasa keberatan untuk meninggalkan bumi Chifeng.




…….bersambung…………

Friday, November 11, 2011

Misi korban (bhg.2)

Ahad,6 November 2011

7.00pagi : Kami berkumpul di masjid dan dibawa oleh Imam Yang atau nama arabnya Norudin . Beliau merupakan ketua persatuan umat Islam bangsa Hui disini.Beliaulah yang menjadi pengiring kami kemana sahaja kami tuju manakala Imam Liu yang merancang segala aktiviti kami. Imam Norudin mengiring kami untuk menjamu sarapan.


Sarapan pagi

Imam Noruddin,bekas tentera.

8.30pagi : Dalam suhu yang sejuk, terasa pedih anak tekak ini tatkala bernafas.Penulis tidak banyak bercakap kerana kepedihan tekak akibat cuaca yang sejuk dan kering. Suhu pada pagi itu mungkin sekitar -2 atau -1.Kami bersama diiringi pegawai masjid termasuk Imam Liu dan Imam Norudin ke pusat pemeliharaan kambing yang terletak kira-kira 10km dari masjid.Sepanjang perjalanan,kami melalui jalan yang kecil dan kami melihat deretan rumah-rumah penduduk yang kecil sepanjang perjalanan itu.Pusat pemeliharaan itu terletak di bukit, dan mujurlah kami menaiki van yang berkuasa tinggi.Kata pemandu kami,Bai van ini buatan Itali yang baru dibeli oleh pihak masjid untuk membawa jenazah.Penulis tersenyum kerana van jenazah ini sangat selesa dan luas.


Van pengangkutan kami

9.00pagi : Selamat tiba di pusat pemeliharaan kambing. Disini kami disambut oleh tuan ladang yang terus mengiringi rombongan kami untuk melihat kambing-kambing yang akan kami pilih.Dari atas bukit, penulis dapat melihat pemandangan bandar Chifeng. Dengan sedikit kabus yang menyelubungi, pemandangan tatkala itu sangat menggamit hati. Penulis dengan lantasnya menekan butang shutter untuk mengambil beberapa keping gambar.Kami dimaklumkan, kambing disini adalah kambing yang terbaik kerana kepalanya hitam. Sampai sahaja di kandang kambing, hati penulis sangat seronok sekali, mungkin ini kerana kali pertama sampai ke kandang kambing. Kambing disini sangat manja namun licik sekali apabila kami hendak menangkapnya. Penulis meminta izin untuk masuk menangkap kambing bersama sahabat yang lain. Memang ini satu pengalaman yang menyeronokkan,pekerja ladang hanya tertawa melihat gelagat kami.Semasa menangkap kambing ini, penulis sempat menghantar SMS kepada bonda dan ayahanda di kampung ucapan aidiladha kerana Malaysia sambut 1 hari awal berbanding di China.Pada mulanya,kambing ini memanglah licik, namum apabila sudah ditangkap ia tidak melawan malah hanya mampu pasrah.Sebanyak 20 ekor kambing yang ditangkap dan ditimbang seterusnya diasingkan.Imam Liu mencatat 1 persatu data setiap kambing.


Penulis dan sahabat, Luqman.





Penulis mengangkat kambing untuk diasingkan.

10.30pagi : Pelajar Malaysia yang ingin menjalani ibadah korban berjumlah 31 orang semuanya. Jadi masih tinggal 11 ekor kambing yang tinggal. Kami ke pusat pemeliharaan kambing yang berlainan, ia terletak kira-kira 30 minit perjalanan. Disini suasana sangat berbeza dengan pusat pemeliharaan yang sebelumnya. Disini haiwan ternakan terletak di kawasan pembinaan serta ia seperti tidak terurus dengan baik namun kambing-kambing ini terjaga rapi.Kali ini kami tidak berani untuk menangkap kambing kerana ia lebih besar dan bertanduk. Kami hanya melihat dari jauh sambil memerhatikan pekerja menangkap seekor demi seekor.




Keadaan pusat yang kedua.

11.30 pagi : Kami pulang ke masjid dan berehat di hotel.Sambil berehat penulis memikirkan isi untuk sesi tazkirah di masjid. Imam Ma Hai pagi-pagi lagi sudah menjemput salah seorang antara kami untuk menyampaikan tazkirah dan penulis telah menawarkan diri untuk melatih diri berucap dihadapan jemaah dalam bahasa mandarin.Ini merupakan satu sesi praktikal bagi penulis untuk mempraktikkan segala pembelajaran didalam kelas.

12.30 pagi : Kami bergegas ke masjid setelah terlelap akibat keletihan. Imam Ma Hai menjemput kami masuk ke dalam. Penulis dapat melihat ramai jemaah sudahpun menunggu,mereka nampaknya menanti kehadiran kami pada tengahari itu. Setelah memberi pembukaan kata dua oleh imam, beliau menjemput penulis kehadapan. Gugup terasa hati ini apabila melihat mata-mata yang memandang. Dapat penulis lihat satu persatu mata para jemaah, ianya ibarat menanti apa yang ingin penulis katakan.Penulis mengambil nafas sedalam-dalam yang mungkin bagi mengurangkan gugup dan dengan lafaz "basmallah" penulis memulakan tazkirah. Penulis mmemulakan dengan pengenalan dengan tujuan kedatangan di bumi Chifeng ini. Selepas itu penulis meluahkan rasa hati yang amat terharu dengan sambutan penduduk Islam di Chifeng terhadap kedatangan kami. Penulis sempat membaca sepotong hadith "la yu`minu ahadukum,hatta yuhibba ni ahihi,ma yuhibbu linafsihi" yang bermaksud tidak beriman seseorang itu sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyanyangi dirinya sendiri.Kupasan hadith itu,penulis kaitkannya dengan umat Islam di Chifeng yang melayan kami dengan baik, walaupun datang dari negara yang berlainan, bangsa yang berlainan malah kulit yang ketara bezanya, namun atas nama Islam kita mampu bersatu,bantu-membantu,bersepakat antara satu sama lain. Inilah nikmat persaudaraan yang paling dalam sekali yang pernah penulis rasai.Alhamdulillah, inilah Islam, ia bukan milik bangsa tetapi ia secara mutlak milik setiap makhluk diatas bumi Allah ini.

2.00petang : Kami menuju ke restoran yang sama untuk menikmati hidangan. Seperti biasa Imam Norudden akan menemani kami. Dalam perjalanan, seorang makcik berbasikal menegur kami. Setelah diperkenalkan oleh Imam Norudden, makcik mengetahui bahawa antara kamilah yang memberi tazkirah tadi. Lalu makcik itu seperti mencari sesuati didalam begnya.Tiba-tiba dia mengeluarkan beberapa keping duit bernilai RMB100(RM50) untuk diberi setiap seorang.Pada mulanya kami menolak, dan apabila dia menghulurkan kepada salah seorang pada kami, kami cuba melarikan diri. Akhirnya makcik itu memberi kepada Imam Norudden supaya menggunakan duit itu untuk belanja kami makan.MasyAllah, geleng kepala. Akhirnya kami terima juga duit itu dari Imam Norudden kerana beliau mengatakan kami ini ialah pelajar dan layak menerima sumbangan.

3.00petang : Kami ke masjid untuk sesi 'taggging' gambar kambing dengan nama pemilik yang menyumbang.Kambing-kambing tadi diletakkan didalam satu ruang yang sempit dibelakang dapur masjid, maka bersesaklah kami didalam itu.Seekor demi seekor diambil gambar lalu datanglah van untuk mengangkut kambing itu untuk diagihkan ke masjid-masjid di kampung.


Ruang sempit di belakang dapur.

Penulis bersama kambing korban.

6.00petang : Kami menunaikan solat isyak berjemaah,setelah itu bersama imam-imam untuk menikmati hidangan malam.Sambil menikmati makanan,kami berbual bersama imam-imam mengenai perkembangan terkini agama Islam. Suasana menjadi lebih meriah topik yang dibualkan mengenai isu semasa. Mereka nampaknya peka dengan keadaan umat Islam di China.

8.00 mlm : Walaupun baru pukul 8, namun suasana sudahpun gelap seperti pukul 10 malam. Ini kerana waktu disini gelapnya lebih awal kerana sedang menuju ke musim sejuk, siangnya jadi pendek malah malamnya jadi panjang.Kami sudahpun keletihan setelah seharian bersama kambing.

Teruskan membaca sehingga bahagian 3...

Thursday, November 10, 2011

Misi Korban (bhg.1)

Assalamualaikum pembaca yg diredhai Allah S.w.t,

Rasanya tidak lewat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada pembaca sekalian. Dgn hati yang tunduk syukur kpd Allah, misi korban di Inner Mongolia daerah Chifeng dapat dijayakan. Disinilah penulis bersama 5 org lagi sahabat menyambut Aidiladha di bumi China kali ini. Daerah ini dipilih untuk misi korban kali ini kerana disini umat Islamnya ramai yang dalam kesusahan. Kami telah mewakili pelajar Malaysia yang lain untuk menguruskan ibadah korban disini.

Jumaat,4 November 2011

7.00mlm : kami bergerak dari universiti menuju ke stesen keretapi Xizhimen yang terletak kira-kira 8km. Dengan masing-masing memikul bagasi , kami menahan teksi tatkala dingin musim luruh menyapa kulit.

8.00mlm : Di stesen keretapi, kami duduk berbincang mengenai hal yang akan dilakukan semasa misi di Chifeng nanti. Kami melantik Harith sebagai ketua kumpulan kami, ini adalah suruhan Islam tatkala keluar secara berkumpulan.

8.40mlm : Berlepas dari stesen Xizhimen menuju ke Chifeng. Perjalanan mengambil 10 jam. Kami menempah gerabak katil untuk perjalanan yang selesa supaya keesokannya kami dapat fokus dgn kerja kami.

Sabtu, 5 November 2011

7.00 pagi : Kami sampai di Stesen Chifeng. Melangkah sahaja kaki di luar, dingin pagi terus menyambut kami. Seperti dijangka, cuaca di sini lebih sejuk berbanding di Beijing kerana Chifeng terletak di bahagian utara. Kami telahpun siap sedia dgn baju sejuk yang tebal. Seperti jakun, asap berkepul-kepul keluar dari mulut bila berbicara. Kami disambut dengan ramah sekali oleh Imam Liu Jing Yi atau nama arabnya Abdul Hakim serta isteri dan seorang ahli masjid. Kami dijemput menaiki van yang besar dan selesa.Hidung sudah mula berair,tekak sudahpun merasa perit, petanda selsema.


Penulis di bandar Chifeng
8.00 pagi : Kami terus menuju ke restoran untuk menikmati sarapan pagi.Sudah menjadi tradisi orang China iaitu melayan tetamu dengan sehabis mungkin. Mereka telah menghidangkan sarapan yang pelbagai seperti roti, cha kuey , kacang dan sayuran , bubur kacang hitam dan air soya. Sungguh menyihatkan. Sambil menikmati hidangan, kami saling berkenalan antara satu sama lain. Aku telah bertanyakan mengenai penduduk Islam di sini, Imam Liu dengan ramahnya menjawab satu persatu soalanku. Di Chifeng terdapat 30 ribu umat Islam, ini merupakan satu populasi yang ramai jika dibandingkan dengan 300 tahun yang lalu dimana seorang umat Islam pun tiada. Penduduk Islam yang berbangsa Hui telah berpindah dari provinsi Hebei dan Shandong kerana disini lebih senang untuk bercucuk tanam dan mengembala ternakan. Untuk memudahkan solat, tidak lama kemudian maka mereka mendirikan masjid yang kini sudahpun mencecah usia lebih 270 tahun!

9.00 pagi : Kami dibawa ke Masjid Nan Da Si. Kami diajak berbual di pejabat masjid. Tatkala itu aku mengambil peluang menemuramah Imam Liu. Beliau merupakan imam besar di Chifeng, maka tidak hairanlah ramai orang menegur beliau ketika aku berjalan bersamanya. Beliau merupakan ahli seni khat china yang sangat hebat. Hasil tulisannnya sudah tersebar lama di bumi Malaysia.
Beliau berasal dari Provinsi Hebei daerah Zhangjiakou dan pada umur 16 beliau mendalami ilmu Islam.Beliau dibesarkan dalam keluarga Islam, ayahnya juga seorang imam.Semasa beliau berusia 8 tahun, bapanya mengajarnya kaligrafi cina dan pada umur 16 beliau telah memulakan seni khat china dan kini usianya 82 tahun. Bayangkan bertapa lamanya pengalaman beliau.Beliau telah 20 kali datang ke Malaysia. Pada mulanya beliau datang pada tahun 2002 dan beliau telah menghadiri Persidangan OIC pada tahun 2003. Disitu beliau telah membuat 'booth' kaligrafi dan telah menarik perhatian ramai pengunjung disitu. Akibat permintaan yang ramai, beliau telah menulis kaligrafi selama 5 jam tanpa henti. Ramai yang beratur sabar menunggu. Beliau telah berjumpa dengan mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Dato` Seri Najib , Sultan Selangor , Dato` Nik Aziz bin Nik Mat serta pemimpin-pemimpin lain. Hasil seni beliau sangat berharga,dari ratusan ringgit hinggalah ke ribuan ringgit nilainya.Seninya memang halus, antara hasil tulisannya ialah petikan ayat suci Al-Quran, hadits dan pengucapan selamat.


Imam Liu Jing YI atau Imam Abdul Hakim

Pemandu kami sedang menyediakan kenderaan

11.00pagi : Kami dibawa ke satu kawasan kampung Islam. Penduduk disitu menyara hidup dengan bercucuk tanam dan menternak lembu. Kami sempat bertemu dengan imam di situ. Mereka melayan kami dengan baik sekali lantas menjemput kami untuk minum teh cina dan buah.







12.00tghari : Kami ke satu lagi masjid yang juga telah berusia 180 tahun. Disitu kami berbual dengan ahli jemaah masjid dan sempat mengerjakan solat zohor secara berjemaah.





3.00petang : Usai menjamah selera tengahari, kami dibawa melawat ke tempat bersejarah pada zaman pemerintahan maharaja. Maharaja itu merupakan orang Monggul dan dia adalah yang terakhir sebelum sistem pemerintahan itu digulingkan.Tempatnya terletak jauh dari bandar Chifeng, dan kami disajikan dengan pemandangan bukit, tanaman yang gersang kerana cuaca yang sejuk.






7.00mlm : Sampai di bandar Chifeng dan menikmati makan malam setelah solat secara berjemaah. Mereka dengan ramahnya telah menempah makanan yang banyak dan sejujurnya penulis sendiri berasa segan kerana dengan layanan yang begitu istimewa.

9.00mlm : Pulang ke tempat penginapan yang terletak depan Masjid Nan Da Si. Ia merupakan hotel murah dengan harga RM20 semalaman setelah makcik disitu diberitahu pihak masjid akan tujuan kedatangan kami ke bumi Chifeng.

Tamat hari pertama. Bahagian kedua akan menyusul lagi,insyAllah.