Friday, November 11, 2011

Misi korban (bhg.2)

Ahad,6 November 2011

7.00pagi : Kami berkumpul di masjid dan dibawa oleh Imam Yang atau nama arabnya Norudin . Beliau merupakan ketua persatuan umat Islam bangsa Hui disini.Beliaulah yang menjadi pengiring kami kemana sahaja kami tuju manakala Imam Liu yang merancang segala aktiviti kami. Imam Norudin mengiring kami untuk menjamu sarapan.


Sarapan pagi

Imam Noruddin,bekas tentera.

8.30pagi : Dalam suhu yang sejuk, terasa pedih anak tekak ini tatkala bernafas.Penulis tidak banyak bercakap kerana kepedihan tekak akibat cuaca yang sejuk dan kering. Suhu pada pagi itu mungkin sekitar -2 atau -1.Kami bersama diiringi pegawai masjid termasuk Imam Liu dan Imam Norudin ke pusat pemeliharaan kambing yang terletak kira-kira 10km dari masjid.Sepanjang perjalanan,kami melalui jalan yang kecil dan kami melihat deretan rumah-rumah penduduk yang kecil sepanjang perjalanan itu.Pusat pemeliharaan itu terletak di bukit, dan mujurlah kami menaiki van yang berkuasa tinggi.Kata pemandu kami,Bai van ini buatan Itali yang baru dibeli oleh pihak masjid untuk membawa jenazah.Penulis tersenyum kerana van jenazah ini sangat selesa dan luas.


Van pengangkutan kami

9.00pagi : Selamat tiba di pusat pemeliharaan kambing. Disini kami disambut oleh tuan ladang yang terus mengiringi rombongan kami untuk melihat kambing-kambing yang akan kami pilih.Dari atas bukit, penulis dapat melihat pemandangan bandar Chifeng. Dengan sedikit kabus yang menyelubungi, pemandangan tatkala itu sangat menggamit hati. Penulis dengan lantasnya menekan butang shutter untuk mengambil beberapa keping gambar.Kami dimaklumkan, kambing disini adalah kambing yang terbaik kerana kepalanya hitam. Sampai sahaja di kandang kambing, hati penulis sangat seronok sekali, mungkin ini kerana kali pertama sampai ke kandang kambing. Kambing disini sangat manja namun licik sekali apabila kami hendak menangkapnya. Penulis meminta izin untuk masuk menangkap kambing bersama sahabat yang lain. Memang ini satu pengalaman yang menyeronokkan,pekerja ladang hanya tertawa melihat gelagat kami.Semasa menangkap kambing ini, penulis sempat menghantar SMS kepada bonda dan ayahanda di kampung ucapan aidiladha kerana Malaysia sambut 1 hari awal berbanding di China.Pada mulanya,kambing ini memanglah licik, namum apabila sudah ditangkap ia tidak melawan malah hanya mampu pasrah.Sebanyak 20 ekor kambing yang ditangkap dan ditimbang seterusnya diasingkan.Imam Liu mencatat 1 persatu data setiap kambing.


Penulis dan sahabat, Luqman.





Penulis mengangkat kambing untuk diasingkan.

10.30pagi : Pelajar Malaysia yang ingin menjalani ibadah korban berjumlah 31 orang semuanya. Jadi masih tinggal 11 ekor kambing yang tinggal. Kami ke pusat pemeliharaan kambing yang berlainan, ia terletak kira-kira 30 minit perjalanan. Disini suasana sangat berbeza dengan pusat pemeliharaan yang sebelumnya. Disini haiwan ternakan terletak di kawasan pembinaan serta ia seperti tidak terurus dengan baik namun kambing-kambing ini terjaga rapi.Kali ini kami tidak berani untuk menangkap kambing kerana ia lebih besar dan bertanduk. Kami hanya melihat dari jauh sambil memerhatikan pekerja menangkap seekor demi seekor.




Keadaan pusat yang kedua.

11.30 pagi : Kami pulang ke masjid dan berehat di hotel.Sambil berehat penulis memikirkan isi untuk sesi tazkirah di masjid. Imam Ma Hai pagi-pagi lagi sudah menjemput salah seorang antara kami untuk menyampaikan tazkirah dan penulis telah menawarkan diri untuk melatih diri berucap dihadapan jemaah dalam bahasa mandarin.Ini merupakan satu sesi praktikal bagi penulis untuk mempraktikkan segala pembelajaran didalam kelas.

12.30 pagi : Kami bergegas ke masjid setelah terlelap akibat keletihan. Imam Ma Hai menjemput kami masuk ke dalam. Penulis dapat melihat ramai jemaah sudahpun menunggu,mereka nampaknya menanti kehadiran kami pada tengahari itu. Setelah memberi pembukaan kata dua oleh imam, beliau menjemput penulis kehadapan. Gugup terasa hati ini apabila melihat mata-mata yang memandang. Dapat penulis lihat satu persatu mata para jemaah, ianya ibarat menanti apa yang ingin penulis katakan.Penulis mengambil nafas sedalam-dalam yang mungkin bagi mengurangkan gugup dan dengan lafaz "basmallah" penulis memulakan tazkirah. Penulis mmemulakan dengan pengenalan dengan tujuan kedatangan di bumi Chifeng ini. Selepas itu penulis meluahkan rasa hati yang amat terharu dengan sambutan penduduk Islam di Chifeng terhadap kedatangan kami. Penulis sempat membaca sepotong hadith "la yu`minu ahadukum,hatta yuhibba ni ahihi,ma yuhibbu linafsihi" yang bermaksud tidak beriman seseorang itu sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyanyangi dirinya sendiri.Kupasan hadith itu,penulis kaitkannya dengan umat Islam di Chifeng yang melayan kami dengan baik, walaupun datang dari negara yang berlainan, bangsa yang berlainan malah kulit yang ketara bezanya, namun atas nama Islam kita mampu bersatu,bantu-membantu,bersepakat antara satu sama lain. Inilah nikmat persaudaraan yang paling dalam sekali yang pernah penulis rasai.Alhamdulillah, inilah Islam, ia bukan milik bangsa tetapi ia secara mutlak milik setiap makhluk diatas bumi Allah ini.

2.00petang : Kami menuju ke restoran yang sama untuk menikmati hidangan. Seperti biasa Imam Norudden akan menemani kami. Dalam perjalanan, seorang makcik berbasikal menegur kami. Setelah diperkenalkan oleh Imam Norudden, makcik mengetahui bahawa antara kamilah yang memberi tazkirah tadi. Lalu makcik itu seperti mencari sesuati didalam begnya.Tiba-tiba dia mengeluarkan beberapa keping duit bernilai RMB100(RM50) untuk diberi setiap seorang.Pada mulanya kami menolak, dan apabila dia menghulurkan kepada salah seorang pada kami, kami cuba melarikan diri. Akhirnya makcik itu memberi kepada Imam Norudden supaya menggunakan duit itu untuk belanja kami makan.MasyAllah, geleng kepala. Akhirnya kami terima juga duit itu dari Imam Norudden kerana beliau mengatakan kami ini ialah pelajar dan layak menerima sumbangan.

3.00petang : Kami ke masjid untuk sesi 'taggging' gambar kambing dengan nama pemilik yang menyumbang.Kambing-kambing tadi diletakkan didalam satu ruang yang sempit dibelakang dapur masjid, maka bersesaklah kami didalam itu.Seekor demi seekor diambil gambar lalu datanglah van untuk mengangkut kambing itu untuk diagihkan ke masjid-masjid di kampung.


Ruang sempit di belakang dapur.

Penulis bersama kambing korban.

6.00petang : Kami menunaikan solat isyak berjemaah,setelah itu bersama imam-imam untuk menikmati hidangan malam.Sambil menikmati makanan,kami berbual bersama imam-imam mengenai perkembangan terkini agama Islam. Suasana menjadi lebih meriah topik yang dibualkan mengenai isu semasa. Mereka nampaknya peka dengan keadaan umat Islam di China.

8.00 mlm : Walaupun baru pukul 8, namun suasana sudahpun gelap seperti pukul 10 malam. Ini kerana waktu disini gelapnya lebih awal kerana sedang menuju ke musim sejuk, siangnya jadi pendek malah malamnya jadi panjang.Kami sudahpun keletihan setelah seharian bersama kambing.

Teruskan membaca sehingga bahagian 3...

No comments: